ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA
Jelajah Hulu Langat bersama Tokoh Negara dan Alumni PTD | Hulu Langat terletak lebih kurang 20-25 km dari Pusat Bandar Kuala Lumpur dan perjalanan biasanya mengambil masa lebih kurang 45 minit. Hulu Langat terkenal sebagai Dusun Tropika Selangor kerana bukan sahaja ada air terjun dan hutan yang mendamaikan tapi kaya dengan sumber buah-buahan sepanjang tahun! Dulu masa kecik-kecik, sinilah tempat kakak dan keluarga selalu beriadah.
Baru-baru ni, kakak berkesempatan menyertai Lawatan Kelestarian Alam dan Eko Pelancongan bersama Tan Sri Abdul Halim Ali, mantan Ketua Setiausaha Negara (1996-2001) merangkap Presiden Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) bersama 60 orang ahli alumni PTD dan keluarga. Banyak aktiviti lawatan yang sempat kami jelajah pada hari tersebut.
Aktiviti Lawatan Kelestarian Alam dan Eko Pelancongan di Hulu Langat
Seawal 8.30 pagi, kami berkumpul di Restoran Terra Pong sebelum memulakan perjalanan ke kawasan menarik sekitar Hulu Langat. Tak sabar kakak nak kongsikan dengan korang aktiviti kami sepanjang di Hulu Langat ni tau! Rasa seronok sangat bila dapat bergabung dengan alam bersama alumni PTD ni, terasa kemeriahan acara ni tau!
Air Terjun Lopoh
Perjalanan 11 buah kereta dimulakan ke Air Terjun Lopoh yang merupakan salah satu khazanah alam semulajadi dalam Geopark Hulu Langat. Kat sini selain beriadah, korang boleh hiking sampai ke puncak air terjun tau! Tapi lawatan ni lebih istimewa sebab kami berpeluang meneroka kawasan Lopoh yang cantik ni!
Kebun seluas beberapa ekar ni menempatkan kolam ikan dan private house malahan terdapat kawasan perkhemahan yang bersesuaian untuk aktiviti rekreasi keluarga. Lokasinya berhampiran dengan sungai menjadikan lawatan ini sangat menenangkan dan mendamaikan. Yelah, duduk di hiruk piruk kota ni sesekali kenalah jamu mata dan rehatkan minda dengan keindahan alam semula jadi. Hirup udara segar yang tak tercemar di Hulu Langat ni kan buat kakak rasa lebih refresh!
Terra Pong Eco Resort @ Perdik
Selepas melawat sekitar kawasan kebun, kami bergerak ke Terra Pong Eco Resort di Perdik pula. Eco Resort ni sangat luas dan fasa 1 dijangka beroperasi pada tahun 2026 nanti. Teruja sangat bila menjadi antara yang pertama melawat kawasan sekitar Eco Resort ni tau! Resort dia memang cantik dikelilingi hutan semula jadi Hulu Langat. Resort yang dibina terapung di atas air ni, sesuai untuk mereka yang ingin mencari kedamaikan dan detox diri dari kesibukan kerja dan kota.
Kat sini, kami dijamu dengan jamuan makan ringan sambil beramah mesra bersama Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dan Tan Sri Abdul Halim Ali. Banyak perkongsian yang kami dan para alumni PTD ni dapat masa sesi ni tau merangkumi keseimbangan dalam pembangunan dan kelestarian alam dalam masyarakat untuk kehidupan yang lebih seimbang.
Restoran Terra Pong
Ini merupakan kali kedua kakak ke Restoran Terra Pong, suasana di sekitar restoran ni buat kita rasa macam berada di zaman Melayu Klasik dengan dekorasi struktur kayu jati dan berlatarbelakangkan tasik. Restoran yang unik ni telah beroperasi dari tahun 2017 dan boleh menempatkan 600 orang pada satu masa. Menyajikan hidangan autentik Melayu-Thai yang pastinya akan menambat selera korang!
Masa makan tengah hari kat sini, kami dihidangkan dengan keenakkan makanan Thai asli iaitu Tom Yam Goong, Ikan Siakap 3 Rasa, Ikan Stim, Udang dan Sayur. Kesemua hidangan ni memang sedap dan buat kakak tambah lauk tau! Selain tu, kami juga dijamu dengan beberapa jenis buah-buahan sebagai pencuci mulut. Alhamdulillah, kenyang perut hati pun senang!
Sesi pelepasan anak-anak ikan di tasik restoran Terra Pong turut diadakan sebagai simbolik acara Lawatan Kelestarian Alam dan Eko Pelancongan selepas makan tengah hari.
Villa Terra Pong
Kakak juga berkesempatan melawat Villa Terra Pong yang berdekatan dengan Restoran Terra Pong ni tau! Kalau korang nak cari tempat beriadah dan berkumpul bersama keluarga, Villa Terra Pong 2 tingkat yang memiliki 6 buah bilik lengkap dengan fasiliti kolam renang, dapur dan bbq pit ni sangat bersesuaian.
Villa Terra Pong juga dibina berkonsepkan strutur kayu jati, rasa macam balik kampung pulak bila duduk kat sini. Kalau korang yang duduk kat hutan batu nak merasa suasana kampung sambil hirup udara segar Hulu Langat, kakak sangat mengalu-alukan korang kesini tau! Duduk sekejap pun dah boleh rehatkan minda, apatah lagi kalau bermalam kat sini kan?
Kemeriahan Lawatan Kelestarian Alam dan Eko Pelancongan di Hulu Langat bersama Alumni PTD
Meriah sangat tau lawatan pada hari ni, lawatan ni bukan sahaja untuk mengeratkan silaturahim sesama alumni PTD dan keluarga, tetapi juga memperkukuhkan kesedaran terhadap kelestarian alam dan eko pelancongan.
Kita semua memelihara dan memulihara keindahan Hulu Langat sebagai tempat tumpuan dan khazanah negara untuk kita sendiri dan generasi yang akan datang. Kalau bukan kita? Siapa lagi nak pertahankan alam sekitar yang berpotensi menjadi daya tarikan bukan sahaja masyarakat tempatan tapi antarabangsa juga.
Jom ke Hulu Langat!
Kalau korang cari lokasi untuk beriadah bersama keluarga yang tak jauh dari Pusat Bandar Kuala Lumpur, jom ke Hulu Langat! Banyak sangat tarikan eko pelancongan yang terdapat kat sini, sekarang dah senang tau korang boleh akses melalui Lebuhraya EKVE dan SUKE untuk perjalanan yang lebih lancar.































