#TravelPerakLah | Edisi SELAMA

 ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA 


#TravelPerakLah | Edisi SELAMA - Kalau sebut pasal Selama kan, apa yang korang terfikir? Jujurnya, kakak sendiri pun tak tau apa yang menarik kat Selama sampailah kakak sendiri eksplore Selama dengan Gaya Travel dan Tourism Perak baru-baru ni.



Selama ni ada 2 bahagian, Selama Perak dan Selama Kedah. So korang jangan pelik kalau orang kat situ tak bercakap dengan dialek atau loghat Perak, sebaliknya loghat Kedah. Yang kakak eksplore tu Selama yang terletak di Negeri Perak. Dah kata #TravelPerakLah, of course menjelajah Negeri Perak, tak gitu ke kome? Hehehhehehe.




Perjalanan dari KL ke Selama memakan masa lebih kurang 3 jam setengah. Jauh juga, dalam 256km macam tu. Kebas jugalah punggung duduk dalam van. Hehehehehehe. Destinasi pertama kami bila sampai kat Selama ialah D'Lata Chalet yang terletak di Lata Tebing Tinggi untuk makan tengah hari dan juga check-in. Makanan yang dihidangkan aritu memang sedap, perut dah lapar dihidangkan pula dengan pelbagai jenis lauk-lauk kampung. Memang bertambah-tambah nasi! Hahahahha.




Jom jelajah tempat menarik di Selama


D'Lata Chalet @ Lata Tebing Tinggi




Apa yang best kat D'Lata Chalet, Lata Tebing Tinggi ni? Kalau korang suka nature, D'Lata Chalet memang pilihan yang terbaik untuk beriadah. Terdapat beberapa buah chalet penginapan dan kesemuanya dekat dengan sungai. Kiranya buka je pintu bilik terus nampak sungai. Tapi kalau korang pilih untuk tak menginap disini pun takpe, korang masih boleh beriadah di sekitar kawasan Lata Tebing Tinggi ni sebab kemudahan yang disediakan untuk pengunjung luar pun cukup lengkap seperti gerai makan, tandas awam dan surau. Kawasan tempat letak kereta juga banyak dan tak jauh dari sungai.


Sungai Atas Sungai, Kampung Redang Panjang



Kalau sebelum ni kakak penah baca pasal sungai atas sungai yang terdapat di luar negara. Rupanya dekat negara kita pun ada sungai atas sungai yang terletak di Kampung Redang Panjang, lebih kurang 13km dari Pekan Selama. Macam mana ye rupa sungai atas sungai tu? Bagi kakak sangat unik kerana terdapat 2 buah sungai yang bertindih antara satu sama lain. Selalu kita tengok sebatang sungai je kan? Kat sini kita boleh lalu di atas 2 batang sungai. Faham tak? Kalau tak faham, korang boleh tengok gambar. 



Sungai atas sungai merupakan terusan air sepanjang 3.5km yang dilencongkan dari Sungai Ijok dan di bawahnya pula Sungai Redang Panjang. Masa kat sini, korang boleh tengok keunikan sungai atas sungai tu sendiri dari sebuah jambatan yang dibina pada tahun 1936. 


Telaga Gergasi, Kampung Jalan Baru




Selain sungai atas sungai, korang wajib ke Telaga Gergasi. Sampai kat sini, kakak terpegun sangat dengan telaga ni. Nampak macam mini Niagara Waterfall. Sebenarnya, sungai atas sungai dan telaga gergasi ni bersangkut paut kerana air sungai tersebut akan mengalir sepanjang lebih kurang 5km terus ke Telaga Gergasi. 




Mesti korang tertanya-tanya apa fungsi telaga ni kan? Telaga Gergasi merupakan tinggalan teknologi British untuk mengawal pengaliran air dari Sungai Ijok ke Tasik Bukit Merah. Kedalaman telaga ini 100 kaki atau 30 meter tinggi dengan diameter sepanjang 20 kaki atau 6 meter dibina itu pada asalnya berfungsi untuk memindahkan hasil bijih timah melalui sungai, namun ciri moden binaan tersebut secara tidak langsung dapat mengelakkan hakisan tanah daripada termendap di Tasik Bukit Merah. Selain itu telaga ini juga diwujudkan sebagai penyimpanan air dan sumber air untuk tanaman padi yang terdapat dikawasan berhampiran. Boleh dikatakan, tali air la.


Galeri Keris Pak Din Komando, Kampung Bagan Baru



Galeri Keris Pak Din Komando atau nama asalnya Abdul Wahab bin Hassan antara salah satu tempat menarik yang boleh korang kunjungi di Selama. Kat sini korang boleh tengok pelbagai jenis keris-keris dari zaman dahulu sehinggalah sekarang. Masuk je kat situ, kakak terpegun tengok sendiri koleksi senjata tradisonal yang terdapat di dalam Galeri Keris Pak Din. Yang menariknya, kebanyakan keris yang terdapat disini merupakan keris turun temurun dan keris yang diperbuat sendiri oleh Pak Din. Pak Din Komando ni terkenal kerana kebolehannya membuat ukiran sarung senjata Melayu Tradisonal seperti keris, pedang, golok dan lain-lain. Selain keris, dalam galeri ini juga terdapat pelbagai koleksi barangan antik juga. Memang menarik!




Pak Din juga mempunyai pelbagai koleksi kayu surian. Kalau nak tau, Pak Din telah membuat kajian selama 5 tahun mengenai kayu surian ini dan telah memperkenalkannya secara eksklusif. Kayu surian ini datang dari pokok Surian Batu yang hanya boleh ditanam di beberapa kawasan seperti Larut Taiping kerana suhu yang bersesuaian. Pokok Surian Batu juga tumbuh di kawasan-kawasan tepi sungai dan gunung ganang. Menurut Pak Din, harga kayu surian boleh mencecah ribuan ringgit. lagi lama kayu tu disimpan, lagi mahal harganya. Kayu surian ini boleh digunakan untuk membuat hulu keris atau golok dan juga sarung keris. 


Kedai Kopi Ghazali (Nasi Lemak 50 sen)


Kalau ke Selama, korang boleh singgah di Kedai Kopi Ghazali. Apa  yang menariknya kat sini korang masih boleh jumpa dengan nasi lemak 50 sen. Kat KL tak jumpa dah nasi lemak 50 sen macam ni. Nasi lemak ni memang comel. Tapi rasa dia sedap sangat, terasa lemak dia dan sambal yang padu tu! Jangan tak tau, kakak makan 5 bungkus okay! Hahahahah.


Selain tu korang boleh jamu kuih muih dengan harga yang murah iaitu 3 ketul RM 1. Makan kat sini terasa vibes kampung dia tau, pekena pulak dengan kopi atau teh panas-panas, perghhhhh!




Aktiviti menarik di sekitar Selama


Selama dikenali dengan keindahan 7 Lata nya. Memang kat Selama banyak sangat kawasan-kawasan nature yang masih lagi terpelihara dari pembangunan. Masa kat Selama aritu kakak sempat la menjejakkan kaki ke beberapa buah Lata. Kalau nak jelajah semua, kena berkampung lama sikit la kat Selama. Jom kakak bawak korang tengok sendiri antara aktiviti yang sempat kakak buat sepanjang kat sini.


White Water Rafting, Sungai Rambong


Kalau ke Selama, korang boleh cuba aktiviti White Water Rafting dengan Selama Rafting. Aktiviti ini dilakukan di Sungai Rambong. Tapi kakak lupa la berkayuh berapa km aritu! Hahahahha. Macam biasa sebelum memulakan aktiviti, peserta perlu diberikan taklimat keselamatan dan diajar cara mengendalikan bot rafting. Kalau korang biasa rafting, mesti teruja pasal bum-bum dan jump-jump kan?



Aktiviti white water rafting ni memang seronok dan menguji fizikal juga okay. Walaupun sebenarnya abang bot tu yang banyak kawal bot, korang yang dalam bot tu pun main peranan juga okay! Hahaha. Tapi masa kakak buat aktiviti White Water Rafting tempoh hari, aliran air tak berapa bekerjasama. Air agak surut dan bot ada sangkut-sangkut kat batu. Kalau air tinggi sikit, lagi seronok! Walau macam mana pun, we still have fun!




Waterfall Abseiling, Lata Damak





Ini antara aktiviti yang paling kakak suka! Aktiviti ni memang sangat mencabar, bayangkan korang kena turun dekat air terjun dengan menggunakan tali. Sebelum buat aktviti ni, macam biasa kami buat sesi pengenalan dengan equipment dan taklimat keselamatan oleh Ayahanda. Nak buat aktiviti waterfall abseiling ni memang keselamatan perlu diutamakan dan aktiviti ni perlu dijalankan oleh mereka yang bertauliah. Jadi korang tak perlu risau soal keselamatan di sini. Team Ayahanda memang terlatih.



Lepas sesi taklimat, kami kena pakai helmet, harness dan tali keselamatan. Selepas semuanya lengkap kami dibawa naik ke atas air terjun dan team Ayahanda akan menunjukkan demo cara-cara untuk turun dari atas tu. Dan paling penting kan, korang kena pakai kasut yang sesuai sebab cerun nak menuruni air terjun tu sangat licin. Kalau takde kasut yang sesuai korang boleh sewa je "adias kampung" dengan mereka. Kakak pulak masa tu, takde size. makanya kau redha dan yakin je la dengan aqua shoes sendiri. Hahahahahah.



Aktiviti ni seronok gila, kakak teruja sangat nak turun, tapi dalam masa sama, nervous juga. Sebenarnya, masa nak turun tu ada command yang perlu korang sebut, tapi kakak kau ni, sampai je turn dia nak turun, terus lupa semua skrip. Tak pasal kena marah free-free dengan Ayahanda. Hahahhaha. Tapi Ayahanda marah-marah manja la. Masa turun tu, 2-3 kali juga tergelincir. Tapi enjoy gila!


ATV, Lata Tebing Tinggi


Bagi mereka yang nak aktiviti santai-santai, korang boleh naik ATV di D'Chalet, Lata Tebing Tinggi. Trail ATV dia tak terlalu mencabar. Korang boleh ronda-ronda di sekitar Lata Tebing Tinggi sambil melihat pemandangan hutan lipur yang tenang dan mendamaikan. Kalau mana yang bawak anak-anak tu, aktiviti ni sangat bersesuaian selain beriadah mandi sungai dan berkelah.



Kakak tak join aktiviti ATV masa ni, sebab kakak pilih waterfall abseiling, tapi tengok gambar diorang meronda, kemain seronok lagi ek? Takpe, next time kalau ada peluang berkunjung ke Selama lagi, kakak nak buat aktiviti  ATV ride pulak.


Sebenarnya, banyak lagi tempat dan aktiviti menarik yang boleh korang buat di Selama, tapi masa trip ni tak panjang, jadinya kami hanya berkunjung dan beraktiviti di beberapa tempat je. Terima kasih kepada semua pihak dan Majlis Daerah Selama yang memberikan kami peluang menjelajah Selama. InsyaAllah ada rezeki kakak nak ke Selama lagi.


So lepas ni, kakak nak kongsikan dengan korang destinasi seterusnya #TravelPeraklah! Keep in touch okay!


P/s : Sebenarnya ada kisah sedih dan pedih lepas balik trip ni, tu la punca delay cerita kakak. Telefon tak boleh hidup tiba-tiba dan semua gambar tak dapat diselamatkan. Nasib ada ehsan dari kawan-kawan lain. Dapatlah kakak kongsikan dengan korang. Huhuhuhu.



Tiada ulasan