Filem COAST GUARD Malaysia : Ops Helang, Bukan Filem "Cliche"

 ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA 


Filem COAST GUARD Malaysia : Ops Helang, Bukan Filem "Cliche" | Berani kakak katakan filem ini memang lain daripada yang lain. Dengan babak dan adegan aksi yang sangat real dan mendebarkan.



SINOPSIS


Filem ini memaparkan kisah kehidupan seorang Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Leftenan Maritim Hafiz (Saharul Ridzwan) yang ingin memulakan kehidupan baharu di sebuah pulau setelah mengalami Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD) akibat kehilangan rakan setugasnya dalam sebuah misi operasi. Hafiz juga membawa tunangnya Nurul untuk tinggal bersama setelah mereka memutuskan untuk berkahwin. Namun, ketika Majlis Sambutan Pertunangan Hafiz dan Nurul, sekumpulan penjenayah yang tidak dikenali telah menyerang mereka dan menculik Hafiz, Nurul dan ibu-bapanya serta beberapa lagi tetamu lain termasuk beberapa Anggota APMM untuk dijadikan tebusan. Leftenan Maritim Melati (Julia Farhana), seorang Pegawai Penyiasat APMM daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maritim yang ditugaskan untuk menyiasat kes itu berjaya menemui dan menyelamatkan Hafiz, Nurul dan bapanya. Krisis terus meruncing apabila kumpulan penjenayah itu berterusan mencabar komitmen Hafiz dan APMM lalu menyebabkan satu operasi besar-besaran diaktifkan sehingga kumpulan penjenayah terbabit tumpas. Saksikan filem aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Februari 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.





Barisan pelakon dan penggambaran Filem COAST GUARD Malaysia : Ops Helang


Filem genre aksi unit beruniform terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Maritim Malaysia menampilkan gandingan hebat dua aktor dan aktres popular tanah air iaitu Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.


Filem ini turut penampilan barisan pelakon hebat tanah air antaranya Adlin Aman Ramlee, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Affandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.




Penggambaran filem mengambil masa 55 hari membabitkan lokasi penggambaran sebanyak 65 peratus di kawasan laut dan pulau di sekitar Pulau Langkawi, Kedah dan selebihnya di Kuantan dan Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang. 


Filem ini membabitkan lebih seratus barisan pelakon dan kru termasuk pegawai khas dari Maritim Malaysia terbabit dalam penggambaran dimana mereka terpaksa berkampung selama tiga bulan dalam kapal besar yang berlabuh di tengah laut untuk penggambaran filem. Dan menggunakan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) seperti kapal, helikopter dan sebagainya.





Review Filem COAST GUARD Malaysia : Ops Helang


Tanpa melengahkan masa, kakak nak review sikit mengenai filem yang sempat kakak tonton semasa Majlis Tayangan Perdana dan Sidang Media Filem COAST GUARD Malaysia : Ops Helang yang berlangsung di DADI Cinema, Pavilion KL malam tadi.




Bagi kakak, filem ini bukan filem "cliche" kerana filem ini berkisar mengenai tugas dan operasi membabitkan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang tak penah kita lihat. Filem ini membawa kita menyelami cabaran yang dihadapi oleh mereka dalam menggalas tanggungjawab, amanah serta perjuangan yang berisiko hingga menggadai nyawa semata-mata demi memelihara dan mempertahankan perairan lautan negara.


Awal filem ini dimulai dengan STAR Team mencari sesuatu di atas sebuah bot nelayan (lanun), walaupun kakak tak jelas dengan apa yang mereka cari tapi skop tugasan yang mereka jalankan tu boleh difahami. Cerita ni tak terlalu banyak dialog yang draging. Sesetengah filem tu, jadi membosankan pada awal cerita sebab banyak sangat membebel tak tentu butir bicara.


Paling kakak suka, adegan aksi yang ditampilkan dalam filem ini! Ini yang kakak kata bukan filem "cliche" sebab kebanyakkan aksi dalam filem ini, menampilkan para pelakon sendiri berlawan antara satu sama lain tanpa menggunakan khidmat "stuntman". Selain tu, aksi yang ditonjolkan juga sangat "fresh" dan nampak hidup. Ada adegan dalam filem ni yang bagi kakak sangat mengerikan dimana sifat kejam lanun-lanun ini dipaparkan secara agak terperinci. Sebab tu filem ini dikategorikan sebagai P13. So filem ni agak tidak bersesuaian dengan anak-anak ye.


Dari segi jalan cerita pula, mostly filem ini sangat straight forward. Dialog para pelakon juga tak banyak bebelan tanpa hujung pangkal. Mungkin ada beberapa dialog yang agak kasar tapi tidak menjejaskan cerita dan masih boleh diterima. Ada juga peranan watak yang boleh kita jangka seperti siapa dalangnya dan beberapa adegan lagi. Masa tayangan filem ni, kakak dengan Dik Bee dapat  meneka dengan tepat beberapa watak tu. So predictable la.


Di akhir filem nanti, korang dapat saksikan ending yang agak tergantung tapi tidak mengganggu keseluruhan cerita. So filem ini dijangka akan ada sekuel nya sedikit masa nanti.


Kesimpulannya, kakak suka filem ni dan boleh bagi 8/10. Tak rugi kalau korang menonton di pawagam nanti tau! 

P/s : Tapi product placement kat certain scene tu agak sedikit mengganggu mata kakak ye.. Heheheheheh




Filem COAST GUARD Malaysia : Ops Helang yang berdurasi 85 minit ini bakal menemui penonton pada 2 FEBRUARI 2023 di seluruh pawagam Malaysia, Brunei dan Singapura.




Nota kaki : Jom sedekahkan Al-Fatihah buat pengarah filem ini Allahyarham Pitt Hanif. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Aamiin.



Tiada ulasan