Kita Rewang Sekampung Daerah Kuala Langat

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA 


Kita Rewang Sekampung Daerah Kuala Langat | Dah lama tak merasa suasana merewang weh! Sekarang ni banyak tempat gunakan katering je dan budaya merewang ni dah semakin lupus ditelan zaman. Kakak bersempatan menyertai program Kita Rewang Sekampung yang diadakan di Daerah Kuala Langat, minggu lepas. Daerah Kuala Langat ni merupakan destinasi terakhir untuk program ini. Fuhhh! Nasib baik kakak sempat join, tau-tau dah lokasi terakhir dari 9 daerah di sekitar Negeri Selangor.



Program Kita Rewang Sekampung dengan tagline "Adat Melayu Warisan Bangsa" merupakan anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) dan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan. Dan kakak dijemput oleh Gaya Travel untuk sama-sama menyertai program ini. Terima kasih jemput.


Aktiviti Rewang


Korang tau tak rewang tu apa? Macam kakak cakap sebelum ni kan, aktiviti merewang dah susah nak rasa dah sekarang ni. So kakak bertuah la sebab masih lagi berpeluang rasai kembali suasana rewang ni. Rewang berasal dari perkataan Jawa yang bermaksud bergotong royong sebagai persiapan menjayakan sesuatu majlis macam kenduri kawen ke, aqiqah dan cukur jambul dan sebagainya. Masa kakak kecik dulu, sempatlah merasa sendiri suasana merewang. Memang meriah dan gamat suasana bila tengah merewang ni tau. Banyak adegan usik-mengusik sesama mereka yang tengah merewang ni boleh kita lihat tau. Kalau ada orang melatah lagi riuh! Hahahahha.



Selalunya aktviti rewang ni akan dimulakan seawal pagi, orang kampung akan sembelih lembu atau kerbau dan juga bertungkus ,umus menyediakan bahan-bahan untuk memasak. Setiap orang ada tugasan masing-masing sepeti melapah, memotong bawang dan bahan masakan lain serta yang mengacau kuali untuk menyediakan hidangan.



Aktiviti Marhabban, Berendoi dan Cukur Jambul



Selepas aktiviti merewang, kakak sempat melihat sendiri aktiviti Marhabban, Berendoi dan Cukur Jambul. Cukur jambul merupakan adat resam masyarakat Melayu di Malaysia 40 hari selepas kelahiran. Sesetengah tempat memangil adat ini sebagai berendoi. Pada acara ini biasanya bayi akan didukung dan diarak mengelilingi tetamu yang sedang berzanji dan lazimnya mereka yang lebih tua akan memotong sedikit jambul bayi sambil mendoakan.




Aktiviti ni memang unik, setiap bayi akan diendoi di dalam buaian yang telah dihias, masa cukur jambul tu pula, ada juga aktiviti menabur bunga rampai kepada para tetamu untuk menjadikan suasana lebih meriah. Aritu memang kakak terasa betul-betul kembali ke masa dulu tau. Menggamit nostalgia sangat.





Kenduri Sekampung


Malam kemuncak Kita Rewang Sekampung pula kakak dijamu dengan kenduri sekampung dimana, orang-orang kampung turut sama turun padang memeriahkan majlis yang disempurnakan pelancarannya oleh Yang Berhormat Tuan  Borhan bin Aman Shah, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan.





Dalam majlis ini juga kakak dihiburkan dengan persembahan artis undangan iaitu Shafie Rio, Uji Rashid dan Herman Tino. Mereka ni memang legend! Selain tu, para jemputan juga dihiburkan dengan persembahan silat sebagai gimik pelancaran dan menyaksikan tayangan montaj Kita Rewang Sekampung Daerah Kuala Langat.





Bagi kakak, program ini patut dikekalkan sebagai satu usaha bagi memupuk semangat anak muda masa kini supaya budaya dan adat Melayu tidak terus ditelan arus kemodenan. Kakak sendiri rasa bangga sangat dapat menyertai program Kita Rewang Sekampung ni tau. Terasa semangat Melayu dan perpaduan sesama kita tu lebih erat.





Terima kasih Gaya Travel dan pihak Kerajaan Negeri Selangor atas kesudian menjemput kakak menyertai program kali ni. Lepas ni katanya ada program Hidangan 2022 Dulang Nasi Ambeng pulak. Wow! Mesti meriah!



Tiada ulasan